DAPUR yang cantik bukan saja menampilkan reka bentuk kabinet dan ruang penyimpanan yang menarik dan kemas tetapi juga susun atur dan peralatan yang digunakan bersistematik, mesra pengguna dan selamat.
Ruang penyimpanan atau kabinet dapur sangat penting untuk menyimpan segala perkakas pinggan mangkuk dan bahan memasak di suatu tempat atau ruang yang sempurna dan tersusun sekali gus menampilkan keadaan lebih kemas dan menarik.
Sebab itulah, ruang dapur yang baik perlu dirancang, dibina dan diselenggara sebaik mungkin bagi memenuhi fungsi sebenar.
Pembinaan dan rekaannya memerlukan kepakaran, kreativiti dan kebijaksanaan kerana ia membabitkan belanja yang bukan sedikit.
Kejayaan membentuk dan menguruskannya akan memudahkan tugas di dapur, di samping memberi kepuasan secukupnya, terutama mereka yang banyak menghabiskan waktu di sini terutama kepada suri rumah yang terpaksa menggunakannya setiap hari.
Bermula daripada soal pinggan mangkuk, perkakas, peralatan dan soal ruang penyimpanan, semuanya memerlukan perhatian rapi.
Mereka yang cerewet pasti akan memilih perkakas dapur yang sesuai serta boleh disimpan dalam ruang penyimpanan yang sempurna. Hanya dengan cara itu suri rumah akan menghargai ruang dapur seperti ruang lain di dalam rumah, yang perlu kelihatan menarik dan bersih.
Antara ruang penyimpanan yang diperlukan di ruang dapur adalah rak pinggan mangkuk, rak barang keperluan dapur dan peti sejuk yang sangat mustahak disediakan dalam merancang pembentukan ruang dapur.
Kini tidak ramai menggunakan almari penyimpan lauk yang berasingan, sebaliknya ruang penyimpanan disediakan berserta kabinet siap dipasang terutama mereka yang mempunyai kawasan sempit.
Lagi pun, cara begini lebih kemas dan teratur. Oleh itu kebanyakan kediaman, sama ada sederhana dan mewah turut melengkapkan ruang dapur dengan kabinet siap dipasang secara kekal. Cara ini lebih menjimatkan dan dapat memaksimumkan penggunaan ruang terutama pada rumah kediaman sederhana.
Selepas dikenal pasti keperluan yang dikehendaki, barulah kita boleh membuat anggaran peruntukan kos.
Bagi yang mahukan kesempurnaan, mintalah khidmat rundingan bantuan pakar yang tahu keperluan dan ukuran asas dapur dan ruang penyimpanan yang anda perlukan.
Kini dapur moden juga menyediakan pelbagai rak besi yang boleh dipusing apabila pintu kabinet dapur dibuka, untuk memudahkan pengambilan barangan.
Penyediaan ruang penyimpanan jenis tarik juga langkah bijak kerana barangan yang diperlukan boleh diambil tanpa perlu menghulurkan tangan jauh ke dalam.
Tip-tip sebelum memasang kabinet dapur
* Jumlah penghuni rumah
* Kekerapan memasak dalam sehari
* Jenis perkakas dapur dan jumlah yang digunakan
* Jenis masakan yang sering disediakan
* Jumlah peralatan memasak yang dimiliki
* Adakah makan di ruang dapur juga menjadi tempat makan, selain di meja makan yang khas disediakan.
* Dapatkan sebut harga daripada beberapa syarikat untuk membandingkan harga.
* Pastikan anda tahu kualiti kayu yang digunakan terutama di bahagian sinki bagi mengelakkan ia mengembang apabila sering terkena air. Sebaiknya gunakan `table top' batu/seramik di sinki kerana lebih tahan air.
Oleh Habsah Dinin
No comments:
Post a Comment